Suburkan cinta suami isteri
Anak ternyata anugerah yang tidak ternilai justeru, ia tidak sepatutnya dijadikan halangan kepada suami dan isteri menghabiskan masa bersama bagi mengeratkan hubungan di samping mewujudkan suasana menyeronokkan dalam rumah tangga.
Sering dijelaskan suami dan isteri perlu bijak mencipta ruang dan masa mereka sendiri dalam mengekalkan kemesraan agar kasih sayang terus bercambah walaupun usia perkahwinan sudah bertahun lamanya.
Mungkin sedikit panduan berikut mampu dimanfaatkan pasangan suami isteri dalam membina hubungan lebih mesra:
1. Masa itu emas. Walaupun hanya seminit, masa bersama pasangan sangat penting. Justeru, janganlah disia-siakan masa terluang untuk dihabiskan dengan pasangan berbanding rakan apatah lagi jika ia mempunyai kebaikan bersama.
2. Pastikan hujung minggu dikhaskan untuk bersama pasangan sekiranya di hari yang lain anda sibuk dengan tugasan di pejabat atau menyiapkan kerja rumah.
Bijak mengurus masa dan mengambil peluang akan membuatkan anda dan pasangan pasti tersenyum panjang kerana banyak aktiviti yang dapat dilakukan bersama.
3. Sentiasa peka dengan persekitaran dan pandai mengambil kesempatan. Setiap waktu terluang, habiskan bersama cinta hati anda jika tidak mampu mengehadkan waktu tertentu atau di hujung minggu.
4. Senaraikan aktiviti yang anda berdua gemari. Pilihlah aktiviti yang masih boleh dilakukan walaupun anak ada bersama.
5. Sesekali, upahlah penjaga atau minta tolong saudara-mara untuk menjaga anak sementara anda berdua meraikan majlis istimewa seperti makan malam sempena ulang tahun perkahwinan yang tentunya sungguh bermakna dalam hidup anda berdua.
Andai sudah ditakdirkan bertemu pasangan hidup yang berbeza latar belakang dan karakter, sememangnya perbezaan pendapat dan kekurangan masing-masing hanya boleh dijalin erat dengan kesabaran dan persefahaman.
Bagaimanapun menjadi lumrah hidup apabila pelbagai ujian datang menimpa dalam setiap hubungan. Ramai yang tewas jika tersalah langkah dalam menangani masalah. Justeru, renunglah beberapa tip berguna berikut dalam membina keluarga bahagia:
KELUARGA BAHAGIA
Semua orang dambakan rumah tangga yang utuh dan bahagia. Pelbagai dalil daripada al-Quran dan sunnah Rasulullah menyuruh suami isteri agar saling menyayangi dan bergaul sesama mereka secara patut, bagi menjaga kerukunan dan keutuhan rumah tangga.
Suami wajib bergaul dengan isteri secara patut dan bersa bar atas segala kekurangan yang ada pada pasangan manakala si isteri pula wajib baginya mentaati suami, menguruskan rumah dan menjaga anak-anaknya.
DUGAAN DAN GODAAN
Memang tidak dinafikan, semua orang inginkan rumah tangga yang bahagia hingga ke akhir hayat. Namun ia akan bertukar derita apabila suami atau isteri mudah terpengaruh dengan hasutan syaitan.
Iblis dan sekutunya tidak pernah berasa selesa dan bahagia melihat keluarga Muslim hidup secara harmoni, tenteram dan penuh dengan kasih sayang. Iblis ini akan sedaya upaya menghasut dan mencerai-beraikan mereka.
Bagaimanapun, sesebuah rumah tangga itu akan terselamat daripada godaan dan hasad dengki manusia, andai mereka menjalani kehidupan berlandaskan ajaran agama.
Sikap saling memahami, bertolak ansur dan memaafkan menjadi rahsia utama untuk menjernihkan kembali rumah tangga yang keruh. Namun, sekiranya suami atau isteri masih tidak mampu bertahan atau buntu mencari penyelesaian, rujuklah kepada orang ketiga yang boleh mendamaikan anda berdua.
KUKUHKAN CINTA
Nikah dan perkahwinan jalan terbaik untuk memiliki seseorang yang dapat menemani kita hingga ke penghujung usia. Perkahwinan bukan saja sebuah perjanjian yang kukuh, bahkan ia tanda cinta dua insan berlainan jiwa.
Namun, andai cinta itu mulai retak, penampilannya tidak lagi seindah dulu. Yang manis jadi pahit, yang cantik membuatkan hati jengkel. Inilah hebatnya sebuah cinta.
Ukur usianya bukan setahun dua, tetapi perlu subur dan mekar sehingga nyawa dijemput yang Maha Esa.
Andai kita bermasam muka dengan pasangan yang baru setahun jagung mendirikan rumah tangga, lihatlah pasangan berusia yang mampu hidup bahagia sehingga usia mencecah senja.
Mereka cukup bahagia dan cinta yang lahir dalam diri ternyata sebuah cinta sejati. Tiada romantis yang mengada-ngada atau rayuan yang tidak masuk akal. Setiap ujian dan dugaan yang datang ditempuh dengan sabar.
Jika setiap pasangan mampu memahami antara satu sama lain, cinta akan menjadi lebih indah dengan ujian dan cabaran yang datang. Contohilah cinta Nabi Muhammad SAW kepada isterinya, Khadijah. Ia sememangnya cukup indah.
Kita juga boleh melalui dan memilikinya andai meneladani kisah istimewa ini. Jadikan setiap ujian yang hadir itu sebagai peringatan untuk kita saling memahami dan bersyukur.
Inilah yang harus kita jadikan pengajaran agar perjalanan hidup kita terasa lebih ringan dan bahagia. Sesungguhnya, apa yang kita lalui hari ini adalah bayangan indah yang bakal dilalui di masa depan.
Semakin kita berusaha untuk memahami, be rsabar dan menyuburkan cinta pada hari ini, maka akan banyaklah kemanisan dan keindahan yang menanti kita di kemudian hari.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
www.panduanintim.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment