1)SILA KLIK BUTTON LIKE DIBAWAH
2)SELEPAS LIKE, KLIK SUPPORT US! UNTUK TERUSKAN...





Powered By IMuslimNetwork
Support Us!

Lelaki Juga Alami Masalah Keputihan


Lelaki juga alami masalah keputihan

 
Siapa kata lelaki tidak boleh mengalami masalah keputihan iaitu keluar lendir dari alat sulit yang lazimnya dialami wanita. Jika ada lelaki mengalami keputihan, ia sebenarnya petanda individu terbabit dijangkiti penyakit kelamin chlamydia.

Chlamydia atau clam berpunca daripada bakteria dikenali chlamydia trachomatis dan disebarkan melalui darah atau cecair dalam tubuh.

Ia selalunya berjangkit menerusi hubungan seks yang tidak selamat tanpa langkah pencegahan termasuk melakukan seks oral membabitkan zakar, faraj, dubur dan ciuman atau menyentuh kawasan dijangkiti.

Malah, penyakit ini juga boleh disebarkan ibu yang dijangkiti chlamydia kepada bayi yang baru dilahirkan ketika bersalin.

Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) Dr Premitha Damodaran berkata, penyakit chlamydia jika tidak dirawat boleh mendatangkan mudarat kepada pasangan yang dijangkiti kerana bakteria akan kekal dalam tubuh seumur hidup.

Bagi orang yang dijangkiti chlamydia, gejala penyakit biasa timbul antara satu hingga tiga minggu selepas terkena jangkitan.

Tetapi kebanyakan orang yang dijangkiti bakteria ini tidak mengalami sebarang gejala penyakit menyebabkan mereka tidak sedar sudah dijangkiti.

"Gejalanya selalu tidak kelihatan dalam tempoh lama. Sebab itulah penyakit ini juga digelar penyerang senyap," katanya.

Mereka yang aktif melakukan hubungan seks secara rambang, suami atau isteri bertukar pasa­ngan adalah berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jangkitan kelamin berkenaan.

Ini penyakit kelamin yang biasa dihidapi tetapi ramai kalangan kita enggan mengaku menghidap penyakit ini mungkin kerana malu atau tidak dapat banyak maklumat mengenainya.

Oleh itu, ramai yang lebih rela mereka terus dijangkiti daripada menemui doktor. Dianggarkan, seorang daripada 15 wanita berusia 14 hingga 19 tahun dijangkiti chlamydia.

Pasangan gay juga berisiko mendapat penyakit ini kerana jangkitan bakteria membabitkan pertukaran cecair daripada individu dijangkiti,katanya.

Bakteria ini boleh merebak ke kelenjar prostat dan menyebabkan prostatitis iaitu radang di organ berkenaan sehingga pesakit akan merasa sakit ketika atau selepas mengadakan hubungan seks, demam, kesakitan ketika kencing dan sakit belakang.

Chlamydia juga menyebab­kan uretritis iaitu jangkitan pada uretra atau saluran kencing yang boleh dilihat melalui gejala seperti pendarahan pada air kencing dan air mani, kerap kencing, pedih dan panas ketika kencing dan lelehan keluar dari zakar atau keputihan.

Dalam kes lebih berat, buah zakar mereka juga sakit dan membengkak kerana bakteria chlamydia menyebabkan radang pada epididymis.

Penyakit kelamin ini juga boleh menyebabkan radang pada lapisan rektum atau usus iaitu proctitis akibat seks anal dan pesakit akan mengalami najis berdarah, pendarahan rektum, kesakitan pada dubur dan cirit-birit, katanya.

Bakteria chlamydia juga boleh berjangkit di bahagian tekak kedua-dua pasangan akibat seks oral menyebabkan radang dan bengkak pada tekak serta sukar menelan.

Chlamydia mendatangkan mudarat lebih buruk kepada wanita apabila bakteria boleh menjangkiti bahagian serviks atau pangkal rahim sehingga mendapat radang (cervicitis) yang menyebabkan keputihan yang teruk dan pendarahan bukan kerana haid.

Jangkitan bakteria kemudian merebak dari serviks ke saluran peranakan membabitkan uterus dan tiub Falopio mengakibatkan penyakit radang pelvik (PID). Penyakit PID pula boleh merosak­kan uterus, tiub Falopio, ovari dan rahim serta kesakitan yang teruk di bahagian pelvis.

Natijahnya, wanita yang mengalami masalah tidak boleh hamil berikutan tiub Falopionya bengkak dan tersumbat yang menyukarkan persenyawaan berlaku. Jika hamil akan mengalami masalah kehamilan di luar rahim (ektopik).

Bagi wanita yang sedang mengandung, jangkitan chlamydia akan diwarisi anaknya ketika proses bersalin me­nyebabkan bayi itu menghidap penyakit konjuktivitis dan radang paru-paru (pneumonia), katanya.

Wanita yang dijangkiti penyakit kelamin ini juga boleh mendapat penyakit uretritis dan proctitis.

Dr Premitha berkata, penawar untuk penyakit kelamin berkenaan adalah sangat mudah tidak seperti kesan buruknya yang mendatang­kan pelbagai jenis penyakit dan masalah kesihatan yang serius.

Mereka yang dijangkiti chlamydia hanya diberikan ubat antibiotik Azithromycin sebanyak satu gram. Namun, ia perlu diberikan pada peringkat awal jangkitan.

Oleh itu, mereka yang merasakan dijangkiti dengan chlamydia perlu segera menemui doktor untuk rawatan. Doktor akan melakukan ujian mengoles (swab) pada bahagian yang dijangkiti atau ujian air kencing bagi mengesan kehadiran bakteria itu,katanya.

Namun, pasangan sepatutnya berterus-terang jika sudah dijangkiti atau merawat terlebih dulu jangkitan sebelum berkahwin kerana jangkitan boleh berulang," katanya.



www.pakarsakit-tuan.blogspot.com




0 comments:

Post a Comment